Komponen Alam Sekitar
Menurut Pertubuhan Ekonomi, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) biojisim terbahagi kepada;
Tundra dan gurun kutub Antartik | contohnya di Artik dan Antartik |
Hutan pinus dan hutan jarang Kanada | Contohnya di utara Kanada |
Hutan daun lebar dan hutan sederhana | contohnya di utara Jepun dan Eropah Tengah |
Tanah rumput sederhana | contohnya di Rusia |
Gurun sejuk dan separa sejuk | contohnya di Afghanistan |
Hutan belukar dan berdaun sepanjang tahun | contohnya di Sepanyol |
Tengah | contohnya di Afrika |
Gurun panas | contohnya di Australia Barat |
Hutan tropika kering | contohnya di India |
Hutan hujan sederhana subtropik | contohnya di New Zealand |
Gunung-ganang dan sistem tanah tinggi | contohnya di Banjaran Himalaya |
Sistem kepulauan | contohnya di Indonesia dan Filipina |
Sistem sungai dan tasik | contohnya di Amerika Utara |
KOMPONEN ALAM SEKITAR
Aspek perbincangan tentang alam sekitar melibatkan beberapa perkara yang menjadi komponen alam sekitar, iaitu bumi, manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan, air, tanah dan udara. Anda boleh membaca tentang komponen-komponen ini di dalam bab-bab seterusnya. Di sini diberikan sedikit maklumat awal tentang komponen alam sekitar sekadar pengenalan.
Bumi
Ahli pengkaji angkasa lepas menganggarkan bahawa usia bumi dalam lingkungan 4,600 juta tahun. Menurut satu teori, bumi terjadi melalui pengumpulan pelbagai bahan atau jisim yang terapung-terapung di angkasa selepas berlakunya satu letupan yang amat besar sekitar 15,000 juta tahun lalu. Teori ini dinamakan ‘Teori Big Bang’. Hasil letupan tersebut, maka terwujudlah juga planet lain, bintang, bulan dan sebagainya. Ada kuasa seperti kuasa graviti yang menarik bahan-bahan apungan ini untuk membentuk bintang dan planet. Sehingga hari ini beribu juta jisim di angkasa atau kosmos mampu kekal di dalam lingkungan atau orbit masing-masing, tanpa berlanggar atau berlawanan dengan arah pusingan. Bagi orang Islam, pasti ada Tuhan Yang Maha Kuasa yang mengendalikan perjalanan jisim-jisim di kosmos dengan teratur.
Contohnya, di dalam galaksi Bima Sakti, jutaan jisim kosmos wujud dalam keadaan yang mantap. Anda sendiri boleh lihat keadaan ini jika anda mendongak ke langit di malam yang terang. Pemandangan yang sangat indah dan mengkagumkan ini lebih jelas dilihat dari kawasan tanah tinggi seperti bukit atau gunung. Pengkaji bintang atau ahli astronomi sering membina tapak pemerhatian atau balai cerap di bukit-bukit untuk meninjau ciri dan pergerakan jisim kosmos dengan menggunakan teropong besar atau teleskop.
Pengembaraan ke angkasa lepas yang dilakukan sama ada oleh kapal angkasa yang dipandu manusia atau sebaliknya, seperti satelit, memberi banyak maklumat tentang bumi. Bumi umpama sebuah oasis yang terletak di tengah-tengah alam semesta yang luas terbentang. Gambar bumi yang diambil dari angkasa lepas jelas membuktikan betapa rapuhnya planet ini.
Umpamanya, satu lapisan gas yang dinamakan ozon (setiap molekul ozon mengandungi tiga atom oksigen). Lapisan ozon menapis sinar ultra-lembayung cahaya matahari yang berbahaya daripada sampai ke bumi. Kajian di awal tahun 1980 an mendapati sesetengah tempat di mukabumi seperti Antartika, dilindungi lapisan ozon yang semakin menipis. Penjumpaan ini kemudiannya dipastikan melalui kajian yang dilakukan dari satelit yang dilancarkan ke angkasa. Sehingga hari ini, kajian penipisan lapisan ozon masih diteruskan.
Manusia
Tahukah anda berapa ramai penduduk dunia pada hari ini? Penduduk dunia kini lebih kurang 6 bilion orang. Kadar peningkatan penduduk dunia lebih kurang suku juta orang setiap hari. Dengan kadar ini, dianggarkan apabila Malaysia mencapai taraf negara maju dalam tahun 2020, penduduk dunia meningkat hampir 10 bilion orang. Soalnya, adakah bumi ini mampu menampung bilangan penduduk yang begitu ramai? Jawapannya, boleh, tetapi dengan syarat mesti ada taburan penduduk yang lebih seimbang. Negara-negara mundur dan sedang membangun kini mempunyai bilangan penduduk terlalu ramai. Kadar peningkatan penduduk negara-negara ini juga adalah yang tertinggi. Keupayaan menyediakan makanan dan keperluan asas di negara-negara ini amat terhad. Justeru, kita mendengar kisah kebuluran, kekurangan tempat tinggal dan wabak penyakit sering berlaku di dalam masyarakat seperti ini. Taburan penduduk yang lebih seimbang boleh menyediakan kehidupan yang lebih selesa bagi seluruh penduduk dunia.
Berapa ramaikah pula penduduk di negara ini? Di Malaysia terdapat 26 juta orang penduduk. Sebenarnya bukan kuantiti manusia yang dipertikaikan, tetapi kualiti mereka. Manusia mempunyai tanggungjawab yang berat di dunia. Sebagai makhluk yang diberi akal dan keupayaan mental yang tinggi berbanding makhluk lain yang hidup di bumi, maka manusia berperanan sebagai khalifah. Tuhan menganugerahkan alam ini kepada manusia untuk dikongsi bersama dengan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Manusia hanya satu daripada jutaan jenis atau spesis makhluk hidup yang lain. Semunya ciptaan Tuhan Yang Maha Kuasa.
Haiwan
Haiwan adalah makhluk ciptaan tuhan dan terdapat berjuta-juta spesis haiwan wujud di dunia ini. Secara umum haiwan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu haiwan liar dan haiwan ternakan. Haiwan ternakan dijadikan sumber makanan atau diberi tugas khusus seperti haiwan pengangkut barang, haiwan tunggangan, penjaga rumah atau haiwan kesayangan. Setiap haiwan mesti dijaga dengan baik dan sempurna. Haiwan yang dihalalkan untuk dimakan, perlu disembelih dengan sempurna terlebih dahulu. Kaedah menjaga haiwan juga mesti diutamakan dengan mengambil-kira bahawa haiwan adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada manusia. Kebajikan haiwan juga perlu dijaga kerana ia juga mempunyai naluri serta boleh merasai kesakitan . Haiwan juga kerap hidup sebagai sebuah masyarakat. Ada pertalian antara ibu dan anak. Jadi perkara-perkara ini mestilah diberi perhatian oleh penternak atau penjaga haiwan.
Haiwan liar juga mempunyai hak. Banyak spesis haiwan yang telah atau hampir pupus, akibat perbuatan manusia. Aktiviti pemburuan yang tidak terkawal boleh menjejaskan kewujudan sesetengah jenis haiwan. Umpamanya, beberapa jenis ikan paus mungkin pupus kerana sering diburu oleh nelayan dilautan luas. Beberapa jenis burung helang juga turut terancam. Justeru, banyak spesis haiwan yang diwartakan sebagai haiwan terlindung, dalam usaha untuk mengelakkan kepupusan dan menggalakkan pembiakan.
Nabi Muhammad s.a.w. menyatakan bahawa berbuat baik terhadap binatang sama pahalanya seperti berbuat baik terhadap manusia, dan berbuat kejam kepada binatang sama dosanya seperti berbuat kejam terhadap manusia. Baginda Rasullulah s.a.w. sendiri menyediakan sebuah kawasan rehat untuk kuda perang yang berukuran satu batu lebar dan enam batu panjang yang terletak di sekeliling kota Madinah. Kawasan ini diberi nama hema.
Khalifah Islam pertama selepas Nabi Muhammad s.a.w., Saidina Abu Bakar As-Siddiq pernah menasihati askar-askar yang akan berperang akan tidak memusnahkan tumbuh-tumbuhan dan membunuh haiwan kecuali untuk dijadikan makanan. Seorang cendekiawan Islam di kurun ke-8, al-Jahiz telah menulis sebuah buku bertajuk Buku tentang Haiwan. Buku ini membincangkan tingkah-laku haiwan dan pengaruh alam sekitar terhadap kehidupan haiwan. Sebuah buku lain tentang hak-hak haiwan telah ditulis oleh Izzah-Din Abd as-Salam dalam kurun ke-13.
Tumbuh-tumbuhan
Pernahkah anda melihat gambar pemandangan dipadang pasir? Apakah perasaan anda jika terpaksa hidup di kawasan padang pasir yang panas dan tanpa tumbuh-tumbuhan ? Kehidupan di situ pasti sukar. Tiada pokok untuk berteduh dan tiada sungai sebagai sumber bekalan air. Kita bernasib baik kerana Tuhan Yang Maha Kuasa telah mengurniakan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan di Malaysia.
Tahukah anda bahawa satu pertiga tanah di permukaan bumi ini ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan. Fungsi tumbuh-tumbuhan ialah menyamankan cuaca, melindungi bekalan air dan menjadi tempat haiwan dan manusia berteduh. Tumbuh-tumbuhan juga menjadi sumber makanan manusia dan haiwan. Tumbuh-tumbuhan adalah satu-satunya makhluk Tuhan yang mampu berdikari membuat makanan sendiri. Daun menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen. Tindakan ini menyebabkan kandungan gas dalam udara seimbang. Justeru, suhu dan cuaca dunia terkawal. Selain itu, tumbuh-tumbuhan juga adalah sumber ubat-ubatan semula jadi. Contohnya, 2,000 dari 3,000 pokok yang dipercayai mempunyai kesan menyembuh kanser diperolehi dari hutan Amazon di Amerika Selatan.
Menurut undang-undang Islam, sesetengah kawasan hutan, termasuk haiwan liar didalamnya, diiktiraf sebagai hutan simpan. Hutan simpan ialah kawasan terlindung. Kawasan ini biasanya meliputi hutan dan kawasan sekitarnya yang menjadi tempat tumpuan akar-akar pohon hutan mendapatkan air. Bagi kawasan terbangun seperti sebuah kampung, hutan simpan merangkumi kawasan persekitarannya yang menjadi sumber rezeki atau tempat bersiar-siar dan berehat.
Tanah
Tanah membentuk 30 peratus permukaan bumi. Bukan semua tanah mampu menampung kehidupan dengan mudah. Satu pertiga keluasan tanah dunia terdiri daripada padang pasir dan tanah yang kering kontang. Lebih kurang satu persepuluh kawasan tanah lagi sentiasa dipenuhi ais seperti sebahagian besar Kutub Utara (Artik) dan Kutub Selatan (Antartik). Satu persepuluh kawasan tanah yang lain membentuk kawasan tundra yang sukar didiami. Justeru, kurang daripada separuh keluasan tanah di mukabumi yang boleh digunakan untuk penempatan manusia, pertanian dan perladangan, atau dikekalkan sebagai hutan simpan.
Terdapat kira-kira 329 juta hektar daratan kawasan daratan di bumi ini. Walau bagaimanapun hanya 226 juta hektar tanah sahaja yang sesuai untuk didiami atau dijalankan aktiviti pertanian. Baki 103 juta hektar tanah lagi terlalu kering atau sukar diterokai. Walaupun 71 peratus permukaan bumi diliputi air, namun 97 peratus daripadanya merupakan air masin dan tidak boleh digunakan untuk kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Selain menjadi tempat pergantungan tumbuh-tumbuhan dan haiwan, tanah juga menjadi sumber bahan semulajadi. Sumber ini mungkin sedia wujud dipermukaan tanah seperti garam, antimoni dan gala-gala. Didalam tanah pula terdapat pelbagi galian lain, termasuk bijih timah, emas dan perak. Sesetengah kawasan kaya dengan sumber fosil seperti minyak petrol. Sumber tanah biasanya dianggap milik negara dan faedahnya dikongsi oleh semua penduduk secara adil.
Di zaman ini terdapat pelbagai program yang dijalankan bagi menambah keluasan tanah untuk tujuan pembangunan. Memandangkan bekalan tanah semakin berkurangan, maka usaha ditumpukan kearah menebusguna tanah dikawasan tepi pantai, bekas lombong atau padang pasir. Kaedah ini dikenali sebagai al-mawat dan dibenarkan selagi ianya tidak mendatangkan bahaya dan kerosakan kepada masyarakat dan alam sekitar.
Projek penebusgunaan tanah telah dijalankan di Utara Jakarta (8,750 hektar), pantai Barat Taiwan (2,200 hektar), Pulau Jurung di Singapura (1,790 hektar), Lapangan Terbang Kansai di Jepun (511 hektar) dan Lapangan Terbang Chek Lap Kok di Hong Kong (200 hektar). Dalam masa beberapa tahun akan datang kawasan seluas 97,000 hektar akan ditebusguna di sepanjang pantai Malaysia sejauh 4,800 kilometer. Perak dan Selangor masing-masing akan menebusguna 6,804 hektar dan 4,047 hektar tanah di sepanjang pantai. Usaha menebusguna tanah juga akan dilakukan di 210,000 hektar bekas tanah lombong di seluruh Malaysia. Tanah yang ditebusguna akan menjadi tapak pertanian, akuakultur, perumahan, perindustrian, pelancongan dan pembangunan infrastruktur seperti lapangan terbang dan jambatan.
Air
Pernahkah anda terfikir bahawa sebahagian besar tubuh manusia terdiri daripada air. Bumi yang dilihat dari angkasa lepas juga nampak seperti sebuah planet yang dipenuhi air, kerana 71 peratus permukaannya dipenuhi lautan, sungai dan tasik. Namun demikian, 97 peratus daripadanya air masin dan tidak boleh digunakan untuk kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Kebanyakan air tawar yang sesuai untuk diminum wujud beku di Kutub Utara dan Kutub Selatan. Baki air yang boleh diminum terdapat jauh di dalam tanah. Sebenarnya, hanya 0.6 peratus dari air di mukabumi ini tersedia untuk dikongsi bersama oleh haiwan dan manusia. Walaupun peratusnya rendah, tetapi jumlahnya agak besar. Dianggarkan bahawa setiap tahun 113,000 bilion meter padu air hujan dan salji jatuh ke bumi. Perkara ini adalah salah satu kurniaan Tuhan yang paling penting.
Namun demikian, masalah kekurangan air terus berlaku. Hampir 2 bilion penduduk dunia dari 80 buah negara mengalami kekurangan air secara berterusan. Pernahkan bekalan air ke rumah anda terputus? Pastinya pernah. Tentu anda dapat merasai betapa sukar untuk hidup tanpa air. Bayangkan rakan-rakan di negara lain di dunia yang saban hari ketandusan air. Punca air juga tidak menentu. Kadang-kadang mereka terpaksa berjalan berbatu-batu setiap hari untuk mendapatkan air. Kita di Malaysia hanya perlu membuka paip dan air keluar mencurah-curah.
Selain masalah kekurangan air, pencemaran air juga semakin menjadi-jadi. Setiap hari dianggarkan 25,000 orang dijangkiti penyakit kerana menggunakan air yang tidak bersih. Air ini dicemari oleh sampah-sarap, najis dan sisa toksid industri dan pertanian. Sebahagian daripada air sungai yang tercemar mengalir dari sebuah negara ke sebuah negara yang berjiran. Penduduk di situ mungkin menggunakan air tercemar tadi untuk tujuan membersih tubuh, membasuh pakaian, sebagai air minuman dan menyediakan makanan. Jadi tidak hairanlah jika mereka terdedah kepada pelbagai jenis penyakit yang berpunca dari air. Setiap tahun dianggarkan 20 bilion tan air kotor mengalir dari tasik dan sungai ke laut. Oleh itu sumber makanan di laut juga turut tercemar dan menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan pantai yang bergantung kepada perikanan.
Udara
Ingatkah anda tentang jerebu yang melanda negara pertengahan tahun 1997? Bagaimanakah keadaan udara yang disedut pada ketika itu? Pasti anda masih ingat rasa kurang selesa di tekak apabila menyedut udara berjerebu, bukan! Sebenarnya, udara bersih adalah sebahagian komponen penting alam sekitar. Atmosfera bumi terdiri daripada gas-gas seperti nitrogen, oksigen, karbon dioksida dan lain-lain. Kandungan gas-gas ini perlu kekal dalam komposisi tertentu. Jika tidak manusia tidak dapat hidup dengan selesa. Umpamanya oksigen merangkumi 21 peratus udara, nitrogen 78 peratus dan karbon dioksida 0.03 peratus. Kandungan oksigen di dalam udara semakin kurang jika semakin tinggi kita mendaki gunung atau terbang di angkasa. Kekurangan oksigen boleh menyebabkan manusia sesak nafas atau pitam. Pernahkan anda mengalami keadaan ini ketika mendaki bukit atau gunung? Oleh sebab itu maka pendaki gunung, seperti kumpulan pendaki Malaysia yang menawan Gunung Everest dalam tahun 1997, terpaksa memebawa bekalan oksigen sendiri. Mereka bernafas menggunakan oksigen di dalam tangki kerana kandungan oksigen di persekitaran terlalu rendah.
Udara sekarang terdedah kepada pelbagai pencemaran. Gas toksid dari pembakaran bahanapi dan aktiviti perkilangan yang tidak sistematik dan terkawal, telah banyak mencemarkan udara kita. Gas-gas seperti karbon dioksida, methana dan klorofluorokarbon membentuk halangan yang mampu meninggikan suhu permukaan bumi. Kesan yang dikenali sebagai kesan ‘rumah hijau’ ini menyebabkan fenomena pemanasan global. Para saintis menjangkakan suhu bumi akan meningkat secara purata dalam masa 50 tahun akan datang. Peningkatan suhu ini boleh mencairkan salji di Kutub Utara dan Kutub Selatan dan menyebabkan banjir di kawsan tanah rendah.
Satu lagi masalah yang timbul akibat pembebasan gas toksid, seperti klorofluorokarbon, ialah proses penipisan lapisan ozon. Lapisan ozon yang menyelubungi atmosfera bertindak sebagai pemantul sinaran ultra-lembayung cahaya matahari. Sinaran ini berbahaya kerana boleh menyebabkan ketidakselesaan dan barah kulit kepada manusia. Jadi penipisan ozon menyebabkan atmosfera semakin telus kepada sinaran ultra-lembayung. Usaha telah diambil agar penggunaan klorofluorokarbon akan dimansuhkan menjelangkan tahun 2000.
Masalah jerebu yang pernah melanda negara pada pertengahan 1997 juga telah menyebabkan tahap kebersihan udara berada di paras tidak memuaskan. Indeks kualiti udara di kebanyakan bandar utama amat membimbangkan. Pelbagai usaha telah diambil bagi menangani masalah ini. Oleh itu rakyat negara ini mesti peka dengan isu-isu yang boleh memburukkan lagi keadaan jerebu, seperti pembakaran secara terbuka dan bekerjasama mengamalkan cara hidup yang selamat dengan tidak mencemarkan alam sekitar.
KESIMPULAN
Bumi dan alam sekitar adalah ciptaan Tuhan Yang Maha Kuasa. Manusia dijadikan Tuhan untuk menjaga alam sekitar yang telah diamanahkan kepada kita. Alam sekitar ini juga kita ‘pinjam’ dari generasi akan datang. Justeru, sebelum kita meninggalkan dunia ini, kita mesti mempastikan bahawa kita mengembalikan semula bumi dan alam sekitar kepada mereka dalam keadaan yang sebaik-baiknya.
“Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dengan sebenarnya, dan pada hari Tuhan menyatakan: “ jadilah engkau”, maka jadilah dia. Perkataan-Nya adalah benar, dan Dia mempunyai kerajaan pada hari serunai sangkakala itu ditiupkan. Dia mengetahui perkara ghaib dan yang kelihatan, dan dia adalah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
Maksud ayat al-Quran, Surah al-An ‘am 6:73.
“Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya untuk permainan. Dan tidaklah keduanya kami jadikan melainkan dengan tujuan yang benar”.
Maksud ayat al-Quran, Surah ad-Dukhan 44:38-39.
Dipetik dari buku bertajuk, Alam Sekitar Anugerah Tuhan
0 komentar:
Posting Komentar